Artikel Menarik

09 November 2013

Bawa ‘Nenek Rempit’ Lawan Arus

gambar hiasan boleh buat sekatan jalan raya

Kuala Lumpur: Seorang lelaki sanggup menggadai nyawanya apabila menunggang melawan arus selepas cuba meloloskan diri daripada sekatan yang dijalankan sepasukan anggota trafik Kuala Lumpur di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Kampung Kerinchi di sini, semalam.

Malah tindakan lelaki berusia 40-an itu turut membahayakan nyawa neneknya berusia 85 tahun yang membonceng motosikalnya.

Pegawai Penguat kuasa Operasi Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, akibat panik lelaki berkenaan cuba berpatah balik menunggang melawan arus namun beberapa anggota polis yang menyedari tindakan itu menahannya.

“Tindakan itu menyebabkan motosikalnya nyaris bertembung dengan kenderaan lain.

“Ketika disoal siasat, lelaki ini memberi alasan tidak mempunyai lesen memandu menyebabkannya bertindak sedemikian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Operasi yang bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari itu membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas 257 motosikal, 123 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan.

“Kebanyakan saman yang dikeluarkan disebabkan tidak memiliki lesen memandu serta lesen tamat tempoh.

“Kami mengesan ramai penunggang yang menggunakan laluan kereta malah terdapat juga motosikal dinaiki lebih daripada dua orang,” katanya.
Tinggalkan KOMEN dan LIKE FACEBOOK tanda SOKONGAN anda!

No comments:

Post a Comment