Artikel Menarik

29 November 2013

Kadar Gaji Munasabah, Kata Khalid

Abdul Khalid bercakap kepada media semalam.

SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menekankan kenaikan gajinya, Speaker, Timbalan Speaker, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Adun adalah munasabah kerana masih tidak melebihi kenaikan di Sarawak.

Menurutnya, kadar kenaikan berbeza-beza tersebut adalah kerana ia dibuat berdasarkan gaji asal serta berpandukan Sarawak.

Beliau berkata, sudah pasti akan timbul pihak mempersoalkan kadar kenaikan itu dan lebih baik kenaikan itu dibuat secara terbuka.

“Memang biasalah kalau kita naikkan gaji itu yang akan berlaku, jadi lebih baik buat secara terbuka dan tentukan pendapatannya. Ini menunjukkan kita telus dan pendapatan itu sesuai untuk wakil rakyat, Exco dan seterusnya,” katanya ditemui pemberita di sidang Dun, semalam.

Abdul Khalid berkata, kenaikan seperti itu juga membantu wakil rakyat dari melakukan kerja lain untuk mencari pendapatan tambahan.

“Ini yang berlaku... boleh jadi ada menteri cari duit luar untuk membiayai kerja-kerja dia. Jadi itu sukar untuk kita,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mempertimbangkan pandangan rakyat semasa membuat keputusan tersebut, Abdul Khalid berkata, pandangan rakyat sentiasa diutamakan, maka beliau memutuskan kenaikan tersebut dilaksanakan mesti tidak melebihi Sarawak.

Malah, Abdul Khalid berkata, ia mendapat kelulusan semua pihak tidak kira PR atau BN yang sebulat suara menyokong usul tersebut.

“Ia sudah diluluskan dewan, tidak akan ditangguhkan,” katanya mengulas gesaan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Azmin Ali yang mencadangkan Abdul Khalid mengkaji semula kenaikan tersebut.
Tinggalkan KOMEN dan LIKE FACEBOOK tanda SOKONGAN anda!

No comments:

Post a Comment