Artikel Menarik

19 November 2013

Tetamu Malam di Villa Nabila

JOHOR BAHRU: Di sebalik cerita pelik dan menakutkan, Villa Nabila di Jalan Skudai berhampiran Teluk Danga di sini, terus menerima kunjungan orang ramai sejak awal malam dan kehadiran tetamu tidak diundang yang silih berganti itu tidak berkurangan hingga tengah malam tadi.

Menjelang tengah malam ini, dianggarkan 400 orang kebanyakannya remaja bertumpu ke kawasan banglo yang disenaraikan sebagai lokasi berhantu oleh sebuah portal pelancongan berpangkalan di Amerika Syarikat, Expedia.

Tanpa takut atau bimbang dengan khabar angin tentang kehilangan 23 daripada 30 remaja di Villa Nabila itu, orang ramai melanggar garisan kuning yang dipasang pihak berkuasa untuk meninjau persekitaran dan dalaman banglo usang itu.

Malah, ada remaja yang menjerit dan membuat bising di dalam banglo berkenaan untuk tujuan bersuka-suka dan membuat kecoh.

Kira-kira 11.15 malam tadi, sepasukan peronda dihantar ke tempat kejadian untuk menyuraikan orang ramai yang menceroboh ke kawasan larangan itu.

Bagaimanapun, kehadiran anggota polis itu tidak menghalang lebih ramai orang berkunjung ke kawasan persekitaran Villa Nabila.

Kenderaan pengunjung yang diletakkan di bahu jalan itu juga mengakibatkan kesesakan hingga dua kilometer di Jalan Skudai menghala Tampoi berikutan pengguna jalan raya turut memperlahankan kenderaan untuk melihat orang ramai yang berkumpul di situ.

Polis Johor menafikan dakwaan di laman Facebook (FB) bahawa seramai 23 daripada 30 remaja yang dikatakan memasuki Villa Nabila hilang sejak pagi Sabtu lalu.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, siasatan polis mendapati hanya seorang remaja dilaporkan hilang dan siasatan masih diteruskan bagi memastikan remaja lelaki itu berada di banglo berkenaan atau tidak.

Katanya, laporan diterima daripada Norhayati Mohamad, 38, yang mendakwa anak lelakinya Mohammad Izzat Izuddin Husin, 16, tidak pulang ke rumah sejak petang kelmarin. - Harian Metro
Tinggalkan KOMEN dan LIKE FACEBOOK tanda SOKONGAN anda!

No comments:

Post a Comment