Artikel Menarik

01 December 2013

Kami Gerun Tidak Mampu Bayar PTPTN

Mariam dan Rin (kanan) gerun mendengar mereka yang disenarai hitam serta perintah mahkamah tetapi ingin membayar pinjaman hanya selepas mendapat notis daripada PTPTN.

KUALA TERENGGANU – Walaupun pelbagai cara dan kaedah dilakukan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menggalakkan bayaran balik pinjaman pelajaran, namun masih ramai yang liat untuk melunaskan hutang berkenaan.

Antara usaha PTPTN adalah memberikan diskaun dan memperkenalkan sistem penukaran pinjaman tiga peratus kepada pembiayaan ujrah (satu peratus).

Bagi peminjam yang masih menganggur, penangguhan pembayaran semula selama dua tahun diberikan tetapi mereka perlu tampil untuk rundingan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, tidak mempunyai kewangan mencukupi ekoran belum mendapat pekerjaan tetap menjadi satu faktor peminjam PTPTN tidak membayar balik pinjaman.

Rata-rata peminjam mengakui, mereka tidak berhasrat lari daripada menunaikan tanggungjawab membayar hutang namun terpaksa menangguhkannya terlebih dahulu kerana tidak berkemampuan.

Sehubungan itu, mereka berharap pengurusan PTPTN tidak terus menghukum mereka ekoran kegagalan tersebut, sebaliknya membantu kerana ramai graduan terpaksa menganggur selepas tamat pengajian disebabkan kekurangan peluang pekerjaan.

Mariam Abdullah, 22, berkata, dia belum berkesempatan membayar pinjaman PTPTN walaupun sudah dua tahun tamat belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di ibu negara kerana kekangan wang.

“Bukan sengaja tak mahu bayar, tapi saya hanya bekerja sambilan dengan gaji bulanan kira-kira RM1,000 membuatkan saya tangguh dulu.

“Jika dihitung, jumlah itu memang tidak cukup kerana selain belanja harian, ia juga digunakan untuk bayar sewa rumah, belanja dapur dan tambang ke tempat kerja. Dalam keadaan kos hidup makin tinggi, ia sekadar cukup-cukup makan,” katanya.

Menurut Mariam, rakan-rakannya yang lain turut mengalami masalah sama dan atas faktor itu mereka hanya mampu berdoa agar satu hari nanti mendapat pekerjaan tetap dengan pendapatan sesuai supaya dapat membayar pinjaman terbabit.

“Gerun juga bila mendapat tahu peminjam yang ingkar akan dikenakan tindakan mahkamah dan disenaraikan hitamkan oleh Jabatan Imigresen, tapi apakan daya kami tidak mampu. Insya-ALLAH ada rezeki kami akan tunaikan tanggungjawab kami,” katanya.

Senasib dengan Mariam, seorang lagi peminjam, Rin Rahim, 22, pula berkata, sebelum menerima tawaran pinjaman PTPTN, dia sedar risiko terpaksa ditanggung jika gagal melunaskan hutang itu, namun terpaksa menandatangani perjanjian tersebut.

Katanya, sebagai anak orang kampung yang berhasrat memegang segulung ijazah, dia tidak mampu melanjutkan pelajaran ke universiti dengan perbelanjaan sendiri dan mujur ada PTPTN membantunya mencapai impian.

“Kami tiada pilihan, jika tidak membuat pinjaman menerusi PTPTN, mungkin saya tidak dapat menyambung pelajaran. Bukan tidak ada yang lain, tetapi tentulah syaratnya lebih ketat dan hanya universiti tertentu akan diberikan.

“Apa pun, hutang tetap akan dibayar cuma menunggu sehingga mendapat pendapatan tetap dan kewangan mencukupi,” katanya.

Seorang peminjam yang mahu dikenali sebagai Nur Malek, 28, berkata, dia berhenti membayar balik pinjaman walaupun melakukannya secara konsisten selepas tidak berpuas hati dengan sikap kakitangan pengurusan PTPTN.

Katanya, kakitangan terbabit enggan menerima borang pertukaran sistem ujrah yang dihantar hanya kerana dia tersilap cetak dokumen itu di depan dan belakang kertas.

“Bayangkan, saya bersusah payah mendapatkan tandatangan pengesahan pegawai, membeli setem hasil bagi melengkapkan borang itu tapi ditolak mentah-mentah hanya kesilapan yang saya kira tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan kesungguhan untuk membayar hutang,” katanya kecewa.

Sehubungan itu, dia meminta pengurusan PTPTN melonggarkan kerenah birokrasi di perbadanan itu bagi menggalakkan peminjam melunaskan hutang masing-masing.

“Mereka sepatutnya bertindak sebagai pemudah cara, bukan menyulitkan keadaan. Saya kecewa dan tawar hati kerana kakitangan itu langsung tidak bertolak ansur,” katanya. - Sinar Harian
Tinggalkan KOMEN dan LIKE FACEBOOK tanda SOKONGAN anda!

No comments:

Post a Comment