Artikel Menarik

08 December 2013

Bantuan Lewat Tidak Disengajakan: Bomba

Kuala Terengganu: Kelewatan pasukan penyelamat menghantar bantuan ke beberapa lokasi dilanda banjir bukan disengajakan, sebaliknya disebabkan beberapa halangan tidak dapat dielakkan termasuk gangguan bekalan elektrik, selain kesukaran komunikasi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata pihaknya juga terpaksa menempuhi laluan ke tempat penghantaran bantuan yang ditutup akibat ditenggelami banjir.
Katanya, terdapat juga kenderaan bomba diletakkan di bahu jalan supaya tidak tenggelam, menyebabkan kelewatan bantuan tiba di kawasan memerlukan.

“Ekoran kekangan itu, perjalanan yang sepatutnya singkat akhirnya mengambil masa sehingga dua atau tiga jam untuk sampai.

“Namun, pengurusan bencana di negara ini masih berada di tahap yang baik jika dibandingkan negara lain. Ini berikutan jumlah mangsa terkorban akibat bencana alam itu berada pada tahap minimum, manakala mangsa berjaya diselamatkan pula masih terjaga makan minumnya,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Bomba Sukarela Zon Pantai Timur dan Selatan di sini, semalam.

Kadar hujan luar biasa

Sementara itu, punca banjir besar di Kemaman selama dua tahun berturut-turut antaranya disebabkan penerimaan kadar hujan luar biasa di daerah itu dalam tempoh tiga hari bermula 2 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Mat Hussin Ghani berkata, kadar air hujan di daerah itu melebihi 1,000 milimeter (mm) yang dicatat di Stesen Menyukat Air Hujan Ban Ho dan Hulu Jabor di Hulu Kemaman, yang disifatkan amat luar biasa dan terlalu jarang berlaku.

“Kadar itu keberangkalian berlaku hanya sekali dalam tempoh 100 tahun.
Selain itu, punca banjir besar di daerah itu juga kerana pertembungan air laut pasang ketika air sedang naik disertai hujan lebat tanpa henti dalam tempoh tiga hari pada 2, 3 dan 4 Disember lalu,” katanya.
Tinggalkan KOMEN dan LIKE FACEBOOK tanda SOKONGAN anda!

No comments:

Post a Comment