Mayat mangsa yang ditemui di kerusi dan mukanya ditutup dengan kain.
'Saya sangka dia tidur'
BATU PAHAT, 3 Disember – Seorang pengawal keselamatan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tongkang Pechah, di sini, terkejut apabila menjumpai rakan setugasnya mati dipercayai dipukul pada bahagian kepala selepas disamun.
Beliau menjumpai rakannya itu terbaring di kerusi rehat dengan bahagian kepala ditutup sehelai kain selain terdapat darah hampir kering di lantai, kira-kira jam 3.30 petang, kelmarin.
Pengawal terbabit yang mahu dikenali sebagai Syuib, 60, berkata, dia yang bekerja giliran malam mahu ke Batu Pahat dan melalui kilang tempatnya bekerja sebelum terlihat rakan setugasnya terbaring di kerusi rehat.
Menurutnya, setelah memerhatikan rakannya tidak bergerak, dia terus menghampiri dan terkejut melihat darah di lantai sambil muka rakannya ditutup sehelai kain.
“Pada asalnya, saya sangka dia sedang tidur, saya mahu mengejutkannya pada mulanya, tetapi terkejut melihat beberapa tompokan darah di lantai.
“Dengan hati yang berdebar saya cuba mengejutkannya, tetapi tiada tindak balas dan terus membuka kain yang menutupi mukanya. Saya lihat terdapat kesan cedera di bahagian kepalanya.
“Saya terus bergegas ke balai polis untuk membuat laporan yang menyatakan rakan setugas yang bekerja sebelum giliran saya, bermula 6 petang Sabtu hingga 6 petang Ahad ini telah dibunuh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan mangsa Aman Harun, 67, mati di lokasi.
Katanya, polis sehingga semalam masih lagi menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Dalam siasatan pihak polis, mangsa yang berasal dari Sri Medan ini turut disamun berdasarkan barangan milik peribadi seperti dompet, telefon bimbit dan beberapa yang lain tidak ditemui.
“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan sehingga tertangkapnya suspek yang melakukan pembunuhan berkenaan.
“Daripada siasatan terdapat kecederaan di bahagian kepala mangsa, dia dipercayai dipukul dengan benda keras. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment