Cico Harahap jawab isu parti liar
NAMA Cico Harahap sememangnya tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air. Mula mencipta nama menerusi filem Puteri Impian, darah seni yang diwarisi dari ibunya, Uji Rashid membuatkan Cico sering menjadi pilihan pengarah suatu ketika dahulu.
Namun seiring dengan kehadiran pelakon baharu dalam industri tanah air, nama Cico mula tenggelam dan seolah-olah hilang dari pandangan peminat dan penggiat seni.
Bagaimanapun penyebaran gambar Cico yang memperlihatkan seolah-olah dia sedang berparti, di Pulau Perhentian membuatkan nama Cico kembali menjadi perhatian ramai.
Justeru kesempatan bertemu dengan Cico yang kini kembali berlakon untuk drama Jiwa di TV3, tidak dilepaskan media untuk bertanya mengenai perkembangan dirinya dan penjelasan mengenai gambar tersebut.
"Saya kini menjadi jurulatih selam di Pulau Perhentian, saya mahu mencuba kerjaya lain kerana ramai pelakon baharu dan kebetulan kini musim tengkujuh. Jadi apabila mendapat tawaran berlakon dalam drama bersiri Jiwa, arahan Khabir Bhatia, saya tidak melepaskannya.
"Mengenai isu gambar tersebut, di pulau tersebut sepanjang pantai memang ada bar. Siang saya menjadi jurulatih selam dan malam pula saya kerja di bar, kutip tin.
“Jadi dalam pada saya tengah kutip tin, ada peminat nak bergambar dengan saya dan saya penuhi permintaan mereka. Tetapi alih-alih gambar tersebut tersebar. Jadi saya reda sajalah," jelasnya ketika ditemui sewaktu di lokasi penggambaran Jiwa, di Stadium Titiwangsa, semalam.
Pemilik nama sebenar Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 36, ini berkata, meskipun timbul cerita negatif mengenai dirinya, ia sedikit pun tidak memberikan tekanan kepadanya.
“Saya tidak sedih ataupun marah bila timbul cerita sebegini sebab satu masa dulu ibu saya juga telah melalui cabaran lagi berpuluh kali ganda. Tapi dia masih tetap terus bertahan sebagai Uji Rashid sampai hari ini. Asalkan saya masih lagi boleh menyara keluarga saya, itu sudah cukup," ujarnya.
Tiga tahun sendiri
Dalam pada itu, Cico berkata, dia menerima tawaran untuk berlakon dalam Jiwa kerana suka dengan karakter yang diberikan kepadanya.
“Sebelum ni saya ada berlakon satu filem arahan Khabir. Kemudian saya ditawarkan pula berlakon untuk drama ni. Saya jadi sahabat baik kepada Iskandar iaitu lakonan Remy Ishak”, katanya yang menyifatkan lakonannya terbaharunya itu sebagai kemunculan semulanya.
Sementara itu, berkongsi mengenai dirinya, Cico berkata, dia sudah bergelar duda sejak tiga tahun lalu.
Cico yang pernah mendirikan rumah tangga dengan Nur Fuziana, sekitar 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata Rindu Nur Fitrah, 3.
“Ya, saya sudah bercerai, sejak tiga tahun lalu. Saya ada berkawan dengan seseorang tapi kalau nak kata sudah ada pengganti, belum lagi. Sekarang ni saya dan ibu saya yang jaga anak saya," akuinya.
No comments:
Post a Comment