Artikel Menarik

06 December 2013

Harun Salim Bachik Tak Halalkan Duit Bayar Saman

Pelawak serta pelakon Harun Salim Bachik meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila namanya turut terkena tempias dalam kes saman yang difailkan oleh lima artis veteran terhadap Persatuan Seniman dan beberapa individu lain.

Harun Salim Bachik ketika ditemui pada majlis tayangan filem Papadom 2 pada malam Rabu, bagaimanapun redha dengan keputusan mahkamah dan akan membayar kos ganti rugi khas kepada Seniman serta kos tindakan kepada pihak plaintif dengan jumlah keseluruhannya RM30,000.

“Saya rasa sedih dan kecewa sebab turut disaman kerana dituduh terbabit dengan penyelewengan padahal pada hakikatnya tidak sama sekali. Kami tidak menyalahgunakan duit persatuan, malah duit beli bangunan pun secara teknikalnya dah dapat balik,” jelas Harun kepada GUA.

Saya buat keputusan untuk redha atas apa yang berlaku dan akan membayar segala kos seperti yang ditetapkan mahkamah. Saya bayar bukan bererti saya salah tapi saya tak nak perkara ini berpanjangan. Alhamdulillah, rezeki saya ada, jadi dengan duit yang saya kumpul selama ini saya akan bayar balik.

"Apapun, saya tak akan halalkan orang yang guna duit ini. Benda ini hasil usaha keras saya selama ini dan tak semena-mena saya nak bayar kepada orang lain. Ia sudah tentu tidak adil buat saya,” kata bekas Presiden Seniman ini sambil memberitahu tidak berhasrat untuk membersihkan namanya.

“Nak bersih macam mana lagi, nama saya dah pun dikaitkan. Bukan saya tak nak lawan balik tapi saya tak nak peningkan kepala dengan perkara sebegini. Secara jujur, hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya. Sewaktu Seniman di bawah kepimpinan saya, saya dah cuba sedaya upaya untuk menaikkan Seniman.

Namun, nampaknya segala usaha saya akhirnya dibalas sebegini. Saya rasa tak berbaloi dengan apa yang saya lakukan selama ini. Saya harap kebenaran akan keluar satu hari nanti,” luah Harun yang turut memberitahu tidak mahu terlibat lagi dengan persatuan Seniman selepas ini.

“Buat masa ini saya masih lagi ahli Seniman tapi diikutkan hati nak saja keluar dari Seniman. Buat apa saya nak kekal jika mereka nak saman saya. Saya bukan jenis aniaya orang dan bila jadi perkara begini dengan siapa saya nak mengadu sekarang. Buat apa saya masih nak perjuangkan persatuan yang membuatkan saya dianiaya dan saya rasa tak guna jika saya masih kekal dalam persatuan,” ujar Harun lagi.

“Sejak ambil alih jawatan Presiden sebelum ini, memang dah ada masalah. Saya harap bila ada Presiden baru akan ada perubahan pada Seniman, namun kini nama Seniman terheret pula dengan kes mahkamah atas ketidakpuasan hati beberapa pihak. Secara tak langsung nama Seniman dah tercemar dan huru-hara sikit.

"Saya tidak mempertikaikan kepimpinan Zed Zaidi. Bagi saya, dia pemimpin yang berusaha untuk melakukan aktiviti dalam persatuan malah menghasilkan sesuatu buat persatuan. Saya tak rasa dia buat perkara yang tak betul kerana dia sendiri nak bantu ahli Seniman. Bagi saya, berilah peluang orang-orang muda untuk mentadbir kerana mereka juga berusaha untuk kebaikan,” ujar Harun mengakhiri perbualan.
Tinggalkan KOMEN dan LIKE FACEBOOK tanda SOKONGAN anda!

No comments:

Post a Comment