Artikel Menarik

07 December 2013

Tolak Jawatan, Ustaz Kazim Berdosa Kepada Agama, Kata MT Umno

Penolakan Mohammad Kazim Elias (gambar) atau lebih mesra dipanggil Ustaz Kazim sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno disifatkan sebagai satu dosa kepada agama, kata Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau yang juga ahli MT Umno berkata, cadangan pelantikan Ustaz Kazim adalah penting kerana parti terbesar Melayu itu memerlukan ahli agama selain menggesa pendakwah bebas itu agar jangan terlalu memikirkan kritikan masyarakat.

“Sewajarnya beliau perlu menerima tawaran tersebut memandangkan Umno memerlukan orang agama untuk membantu mereka.

“Jika kita berada di luar dan tidak sama-sama di arus perdana, kita pasti tidak dapat membantu, nescaya kita akan melakukan sesuatu yang saya anggap dosa kepada agama ini,” katanya seperti dilapor akhbar Sinar Harian hari ini.

Media semalam melaporkan Ustaz Kazim menolak pelantikan sebagai ahli MT Umno kerana mahu menjadi pendakwah yang boleh bergerak bebas dalam usahanya memartabatkan perpaduan umat Islam negara ini.

Beliau kecewa dengan tuduhan orang ramai dalam laman sosial dan blog yang melabelnya dengan pelbagai gelaran seperti syaitan bisu, anak babi, gila glamer dan mahukan duit melalui jawatan dalam MT.

Dr Asyraf Wajdi berkata, apa yang paling penting adalah Ustaz Kazim dapat terus memberikan sumbangan kepada masyarakat menerusi ilmu agama yang dimilikinya dan menyerahkan sepenuhnya kejayaan dakwah hanya kepada Allah.

“Lebih mustahak Allah akan menilai apakah sumbangan kita bukannya natijah. Soal berjaya atau tidak bukan kerja kita, itu kerja Allah.

“Paling penting kita sumbang apa yang kita mampu berasaskan ilmu yang kita ada,” katanya.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan Ustaz Kazim adalah antara sembilan Ahli MT Umno yang dilantik bagi melengkapkan jumlah 13 MT tambahan yang diputuskan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengikut Perlembagaan Umno.

Lapan lagi yang dilantik dalam MT adalah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainudin; Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin; Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani; bekas Naib Canselor UiTM, Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah; Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Dr Asyraf Wajdi dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohanizam Ibrahim.

Tengku Adnan berkata, pelantikan mereka adalah berdasarkan pengalaman yang boleh memberi input yang baik kepada parti dan akan bergerak bersama 25 ahli MT dipilih perwakilan pada pemilihan parti bulan lalu.
Tinggalkan KOMEN dan LIKE FACEBOOK tanda SOKONGAN anda!

No comments:

Post a Comment