Artikel Menarik

04 December 2013

Pahang Minta Bantuan Kerajaan Pusat Tangani Banjir

KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata kerajaan negeri akan meminta bantuan kerajaan pusat bagi mengendalikan sistem perparitan dan saliran di bandar Kuantan yang sering banjir setiap kali berlaku hujan lebat.

Adnan berkata sistem perparitan dan saliran di bandar itu dilihat masih kurang berkesan untuk menangani hujan lebat.

"Proses pembangunan tanpa mengambil kira faktor sekeliling juga antara faktor banjir di bandar Kuantan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa keselamatan negeri di sini pada Selasa.

Katanya jumlah hujan yang luar biasa juga turut menyumbang banjir di bandar itu.

Beliau berkata mengikut rekod hujan yang dicatatkan adalah 400mm bagi tempoh 24 jam lepas, iaitu bersamaan setengah bulan kuantiti hujan di Pahang.

Mengenai persiapan dan bantuan kepada mangsa banjir, Menteri Besar berkata semua agensi berkaitan telah diarah membantu mangsa banjir dalam proses pemindahan, bantuan makanan dan keperluan asas di pusat pemindahan.

Adnan berkata rungutan awal diterima ketika ini ialah kekurangan bekalan makanan di pusat pemindahan.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat menghadapi masalah tidak mempunyai stok bekalan dan terpaksa membeli makanan di kedai sebelum menghantar ke pusat pemindahan itu," katanya.
Tinggalkan KOMEN dan LIKE FACEBOOK tanda SOKONGAN anda!

No comments:

Post a Comment